MERS-COV
- Jururawat Hulu Selangor
- Sep 13, 2016
- 2 min read

NASIHAT KESIHATAN BERKAITAN JANGKITAN MIDDLE EAST RESPIRATORY SYNDROME CORONAVIRUS (MERS-CoV) UNTUK JEMAAH HAJI ATAU UMRAH DAN PELAWAT
Novel Coronavirus, yang juga dikenali sebagai (Middle East Respiratory Syndrome Coronavirus (MERS-CoV) pada masa kini berlaku dalam kalangan negara di rantau Timur Tengah, khususnya Arab Saudi. Rakyat Malaysia juga berisiko mendapat jangkitan kerana bilangan yang mengerjakan haji dan umrah adalah agak tinggi.
Untuk makluman, MERS-CoV menyebabkan jangkitan saluran pernafasan akut di kalangan manusia. Gejala utama adalah demam, batuk, dan kesukaran untuk bernafas. Kebanyakan kes mengalami radang paru-paru (pneumonia). Pihak World Health Organization (WHO) menyatakan punca jangkitan dan cara jangkitan bagi MERS-CoV ini masih lagi belum dapat dikenalpasti. Pihak WHO juga menegaskan tiada vaksin untuk MERS-CoV pada ketika ini. Kebanyakan kes, jangkitan MERS-CoV adalah ringan. Bagi individu yang kurang daya tahan jangkitan, gejala jangkitan mungkin berlaku dalam bentuk yang tidak lazim (atypical).
Khusus untuk orang awam yang ingin mengerjakan umrah, mengadakan lawatan ke mana-mana negara di rantau Timur Tengah yang kini melaporkan kejadian jangkitan MERS-CoV, pihak KKM ingin menasihatkan.
PANDUAN PENJAGAAN DIRI BAGI MENCEGAH MEREBAKNYA JANGKITAN RESPIRATORI AKUT
8 perkara perlu dilakukan oleh pesakit yang mengalami jangkitan respiratori akut semasa berada di rumah.
1. Anda perlu berada di rumah sehingga sembuh (seboleh-bolehnya duduk dalam
bilik berasingan dari ahli keluarga yang lain)
2. Anda boleh keluar dari rumah jika perlu sama ada untuk bertugas, pergi sekolah,
tuisyen, rumah ibadat, majlis makan, kenduri, membeli belah dan lain-lain
aktiviti atau mana-mana tempat awam tetapi perlu memakai penutup hidung
dan mulut (medical mask).
3. Sebaik-baiknya kurangkan pertemuan dengan rakan atau saudara mara dan
elakkan hadir di tempat awam.
4. Amalkan kebersihan diri:
Tutup mulut dan hidung dengan tisu, tuala atau sapu tangan apabila batuk atau bersin. Buang tisu yang telah digunakan ke dalam tong sampah.
Kerap membasuh tangan dengan air dan sabun terutama selepas batuk atau bersin. Basuh tangan selepas menyentuh hidung, mulut dan mata anda.
Elakkan berkongsi tandas, peralatan peribadi seperti tuala, sapu tangan dan lain-lain.
Pastikan pengudaraan yang baik di dalam rumah.
Permukaan objek seperti lantai dan meja yang tercemar oleh cecair hidung atau mulut perlu dibersihkan. Gunakan bahan cucian berasaskan klorin (misalnya, cholorox - campurkan 1 bahagian cholorox dengan 49 bahagian air)
5. Awasi (demam) dab tanda-tanda keterukan penyakit setiap hari.
6. Catatkan nama, nombor telefon dan alamat saudara mara, rakan atau mereka
yang mengunjungi rumah anda.
7. SEGERA ke hospital berdekatan sekiranya mengalami tanda atau gejala-gejala
yang semakin teruk.
8. Ikuti perkembangan semasa mengenai penyakit ini dari laman web Kementerian
Kesihatan Malaysia, Radio TV dan Akhbar.
TANDA DAN GEJALA MERS-COV
Individu dengan gejala demam dan batuk dan/atau sakit tekak adalah dinasihatkan untuk mendapatkan rawatan perubatan sekiranya pada bila-bila masa mereka mengalami mana-mana gejala dan tanda seperti berikut:
Kesukaran bernafas - tercungap cungap, pernafasan menjadi laju atau warna bibir bertukar menjadi kebiruan
Batuk berdarah
Sakit dada yang berterusan
Cirit birit dan/atau muntah yang berterusan
Demam yang berpanjangan sehingga melebihi 3 hari atau demam yang berulang semula selepas 3 hari
Perubahan tingkah laku, kurang responsif, keliru, sawan
Mudah merasa pening/pusing apabila berdiri
Kurang buang air kecil (daripada kebiasaannya)
Sumber KKM